cahayamata
BARISAN gigi yang cantik, kemas, putih dan berseri sebenarnya bermula sejak bayi. Justeru, penjagaan gigi seharusnya dibuat sejak bayi berusia enam bulan.
gigi
Pakar Pergigian dari Klinik Pergigian Dr Halina, Dr Halina Haron, berkata kebanyakan ibu bapa memandang remeh cara dan tahap penjagaan gigi anak mereka. Justeru, katanya tidak hairan apabila gigi susu yang sepatutnya mula longgar pada usia enam tahun mengalami kerosakan dan terpaksa dicabut seawal usia tiga tahun.
“Pembentukan gigi bayi sebenarnya bermula di peringkat janin. Oleh itu, pengambilan makanan ibu terutama kalsium ketika hamil sangat penting kerana ia mempengaruhi pembentukan gigi dan janin itu sendiri,” katanya.
Dr Halina berkata, adalah satu mitos apabila ibu mempercayai setiap kali hamil, mereka akan kehilangan sebatang gigi atau gigi reput. Ini tidak benar jika ibu mengamalkan pengambilan makanan yang betul dan makanan tambahan yang disarankan oleh doktor.
“Satu lagi yang perlu diberi perhatian, penjagaan gigi kanak-kanak bermula dengan sikap ibu bapa sendiri. Biasakan selepas bayi selesai menyusu, lapkan batas gusinya menggunakan tuala basah dengan lembut,” katanya.
Katanya, langkah mengeringkan batas gusi bertujuan mengelakkan sisa susu tertinggal di dalam mulut yang kemudian akan berlendir dan mengembang.
“Apabila bayi dibiasakan dengan tabiat penjagaan gigi sejak kecil, dia akan berasa selesa dengan keadaan itu dan penjagaan gigi akan menjadi habit.
“Gigi kekal yang kita miliki hari ini bermula dengan perjalanan yang sangat panjang. Ia bermula dengan gigi susu yang tumbuh pada usia enam bulan dengan dua batang gigi hadapan di bahagian rahang bawah,” katanya.
Beliau berkata, set gigi susu yang lengkap hanya akan muncul apabila bayi mencecah usia dua tahun setengah atau kurang daripada itu.
Pada ketika usia kanak-kanak mencecah tiga tahun, ibu bapa boleh memperkenalkannya dengan berus dan ubat gigi kanak-kanak. Tetapi pastikan ibu bapa yang menggosok gigi anak tidak membiarkan anak melakukannya sendiri bagi memastikan gigi digosok dengan baik dan anak tidak tertelan ubat gigi.
“Jangan ambil mudah penjagaan gigi susu walaupun akan digantikan dengan gigi kekal. Ini disebabkan gigi susu bertindak sebagai ‘reversed spot’ untuk gigi kekal.
“Perlu disedari di bawah setiap batang gigi susu ada gigi kekal yang akan tumbuh mengikut masa yang sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata, penjagaan gigi susu penting supaya tidak rosak atau perlu dicabut terlalu awal kerana akan menyukarkan gigi kekal untuk tumbuh dengan baik.
“Misalnya gigi geraham kekal hanya akan tumbuh pada usia 11 tahun. Jika gigi susu geraham rosak dan perlu dicabut pada usia tiga tahun, kawasan itu akan kosong sehingga usia kanak-kanak mencecah 11 tahun.
“Apabila gigi itu tumbuh tanpa panduan gigi susu geraham, ia tidak akan tumbuh dengan kedudukan yang baik. Mungkin senget, terkena pipi dan tidak tersusun.
“Kedudukan gigi yang lintang pukang membuatkan gigi kelihatan tidak cantik dan memerlukan bantuan pendakap gigi,” katanya.
Beliau berkata, setiap gigi ada jadual pertumbuhan yang berbeza dimulai dengan gigi hadapan sebelum gigi di bahagian lain. Justeru, amat penting ibu bapa mengajar anak mengenai penjagaan gigi sejak kecil.
Katanya, ajar mereka menggosok gigi mengikut jadual setiap pagi dan malam. Pastikan ibu bapa juga menjaga gigi dan jika boleh lakukannya bersama anak mereka,” katanya.
Mengapa masalah gigi berlaku?
a) Pembersihan gigi yang tidak betul menyebabkan kewujudan plak atau lendir selaput gigi yang menyebabkan gigi cepat rosak. Justeru, pembersihan efektif dan teknik yang betul sangat diperlukan.
b) Rampant cariers (kerosakan gigi menyeluruh)
Kerosakan gigi susu yang menyeluruh dan reput disebabkan tiadanya tabiat menggosok gigi sejak kecil. Ini ditambah pula dengan tabiat memakan makanan yang terlalu banyak mengandungi gula tetapi tidak pula membersihkan gigi selepas makan.
c) Menghisap puting, susu botol atau menghisap jari. Pastikan kanak-kanak tidak menghisap puting atau menghisap jari. Tabiat ini akan mengganggu pembentukan tulang rahang dan boleh menyebabkan giginya jongang. Jika anak menghisap susu botol, pastikan dia puting susu dijauhkan dari mulut ketika dia tidur.
Panduan untuk ibu bapa
a) Seawal usia dua setengah tahun, bawa anak berjumpa doktor gigi walaupun dia tidak berhadapan dengan masalah gigi. Jangan tunggu sehingga giginya sakit kerana ia akan meninggalkan ‘pengalaman ngeri’ terhadap doktor gigi. Lawatan pertama tanpa kerosakan akan membuatkan dia suka dan menyenangi doktor gigi.
Lawatan ini cukup sekadar pemeriksaan dan membiasakan dia duduk di kerusi rawatan tanpa sebarang prasangka. Lawatan berikutnya selepas enam bulan untuk rawatan ‘fissure sealant’ sejenis tampalan pencegahan di permukaan gigi yang berlekuk supaya makanan tidak terkumpul di situ. Lawatan ketiga lebih kepada membaiki kerosakan gigi jika ada.
b) Jadikan lawatan ke doktor gigi sebagai ‘family outing’. Kanak-kanak cenderung untuk meniru sikap ibu bapa. Rasa gerun dan gentar pada doktor gigi akan hilang dengan sendirinya.
c) Jika anak menikmati makanan manis, ajar dia bersihkan gigi selepas itu atau kurangkan pengambilan makanan manis.
d) Ubat-ubatan untuk kanak-kanak selalunya mengandungi gula. Cuba minta ubat yang kurang gula jika ada. Jika tidak, berikan dia air kosong selepas mengambil ubat dalam usaha membersihkan gula yang mungkin terlekat di celah-celah gigi.
e) Ajar anak pilih snek yang kurang gula. Makanan yang manis elok diberi selepas waktu makan (mealtimes) dan bukan antara waktu makan. Air liur pada waktu makan akan membantu membersihkan dan menaturalkan gula dalam mulut.
Pautan dari:
http://permatahati.wordpress.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan