PRODUK KAMI

Selasa, 31 Ogos 2010

Anak Obes

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2010/07/11

pix_gal0
Gemuk melampau ancaman utama kanak-kanak di Malaysia, termasuk di luar bandar

BAYI yang gempal sering menjadi tumpuan kerana disifatkan sebagai comel. Namun, di sebalik kecomelan itu, sebenarnya terkandung bahaya jika bayi yang montel itu kekal gemuk dan seterusnya obesiti apabila dewasa.


Lebih membimbangkan, obesiti bukan masalah peribadi atau individu itu semata-mata tetapi turut menjejaskan pembangunan negara. Apalagi kanak-kanak yang berperanan sebagai generasi muda negara. Anak obes ini berdepan pelbagai risiko kesihatan termasuk tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan tahap lemak dalam darah abnormal, penolakan insulin dan diabetes jenis dua, hati dan pundi kencing terjejas serta kemurungan.

Risiko Masalah lain yang turut menjejaskan kehidupan seharian mereka termasuk sering tercungap-cungap, gelisah atau masalah tidur, kelihatan lebih berusia atau lebih dewasa sebelum usia (kanak-kanak terlebih berat mungkin lebih tinggi atau cepat matang dari segi seksual berbanding rakan sebaya). Bagi kanak-kanak perempuan pula, mereka berhadapan masalah gangguan kitaran haid dan masalah kesuburan.

Di Malaysia, masalah itu tidak terkecuali apabila semakin ramai kanak-kanak ‘dibiarkan’ obes akibat sikap ibu bapa yang tidak prihatin soal pemakanan anak-anak. Bayangkan, si kecil yang didedahkan dengan makanan segera yang mengandungi banyak lemak pada usia awal lagi.

Kanak-kanak Melayu berusia 7 hingga 12 tahun misalnya, menjadi kumpulan terbesar atau 67 peratus yang bermasalah obesiti di Semenanjung Malaysia berbanding kumpulan etnik lain.
Hasil dua kajian oleh universiti tempatan menunjukkan 23 peratus kanak-kanak Cina dan 10 peratus kanak-kanak India mengalami masalah lebihan berat badan dalam lingkungan usia sama.

Presiden Persatuan Obesiti Malaysia (Maso), Prof Dr Mohd Ismail Noor, menyifatkan hasil kajian penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2007/2008 itu sebagai membimbangkan kerana turut membabitkan kanak-kanak di luar bandar.

Beliau mendakwa perkembangan itu agak luar biasa kerana hanya ditemui di Malaysia dan tidak di kalangan kanak-kanak negara membangun yang lain.

“Obesiti menjadi ancaman utama kanak-kanak di Malaysia. Secara keseluruhan, masalah lebihan berat badan di kalangan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun tahun meningkat 1.8 peratus iaitu kepada 12.8 peratus pada tahun 2007/2008 berbanding 11 peratus pada tahun 2001/2002.

“Malah, obesiti pula meningkat kepada empat peratus pada menjadi 13.7 peratus. Secara umumnya, kalau kita bandingkan dengan kajian pada 2001 iaitu seorang bagi setiap lima kanak-kanak mengalami masalah berat badan berlebihan dan obes, kajian pada 2009 itu pula menyaksikan masalah itu dialami seorang bagi setiap empat kanak kanak,” katanya.

Jelasnya, walaupun kebanyakan kanak-kanak yang obes dan mengalami masalah lebihan berat badan berada di kawasan bandar namun peningkatan jumlah kanak-kanak luar bandar semakin membimbangkan.

Misalnya, sekitar 47 peratus kanak-kanak luar bandar di negeri Pantai Timur dikategorikan sebagai obes berbanding 53 peratus kanak-kanak bandar. Sebanyak 43 peratus kanak-kanak luar bandar di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor adalah obes berbanding 56 peratus kanak-kanak di kawasan bandar.

Di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, 42.6 peratus kanak-kanak di kawasan luar bandar mengalami masalah obes dan lebihan berat badan berbanding 57.4 peratus kanak-kanak di kawasan bandar.

Prof Ismail berkata, jika tidak ditangani segera, perkembangan ini boleh memberi kesan negatif kepada kanak-kanak itu dan juga pembangunan negara.

“Gejala pelik ini perlu ditangani sebaik-baiknya kerana kanak-kanak yang obes pada waktu kecilnya memiliki kecenderungan untuk kekal obes apabila dewasa. Obesiti dan masalah lebihan berat badan seperti yang kita tahu membawa kepada pelbagai implikasi kesihatan seperti masalah jantung,” katanya.

INFO: Tangani obesiti si kecil



  • Seawal usia kehamilan hingga setahun
    Susu ibu bantu cegah masalah berat badan dan bayi yang menyusu lebih berupaya kawal pengambilan makanan.




  • Usia dua ke enam tahun
    Sesuai memulakan tabiat pemakanan yang baik. Bantu anak membentuk pemilihan makanan dengan pengenalan kepada pelbagai jenis makanan yang sihat. Galakkan juga mereka untuk aktif bersukan.




  • Usia 7- 12 tahun
    Galakkan mereka dengan aktiviti fizikal. Jika tidak menyepak bola di padang, berjalan-jalan atau bermain di laman sudah memadai.




  • Usia 13 ke 17
    Remaja gemarkan makanan ringan dan segera. Namun, hadkan kepada tiga bulan sekali, andai mereka benar-benar mahukannya. Didik mereka hargai makanan sihat selain babitkan mereka dalam usaha menyediakan makanan sihat bersama-sama di rumah.




  • Kurangkan masa menonton televisyen, komputer atau bermain komputer. Jangan biasakan mereka makan sambil menonton televisyen.



  • Tiada ulasan:

    Catat Ulasan

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...