PRODUK KAMI

Jumaat, 21 Mei 2010

Berpantang cara tradisiona


Menjaga dan merawat ibu bersalin kini menjadi rutin harian Zuzana Zulkifle.

SEJAK berzaman lagi penjagaan cara tradisional bagi ibu-ibu dalam proses berpantang selepas melahirkan anak amat dititikberatkan .

Dalam proses itu, ibu-ibu dilayan bagai menatang minyak yang penuh. Banyak pantang-larang terpaksa diikuti termasuk soal pemilihan pemakanan dan ubat-ubatan.

Pada masa itu tugas penjagaan diserahkan kepada orang tua sama ada ibu, nenek atau mertua.

Zaman itu telah berubah. Faktor masa, kerjaya, kedudukan jarak dan budaya serta penjaga yang telah tua turut memainkan peranan. Ada ibu-ibu yang terpaksa menjaga diri sendiri ketika berpantang atau dijaga oleh suami yang prihatin.

Mungkin penjagaan itu tidak menyeluruh dari hujung rambut ke hujung kaki. Rata-rata hanya melibatkan proses berurut, makanan dan pemilihan ubat-ubatan.

Kini terdapat perkhidmatan penjagaan ibu dalam pantang bagi ibu-ibu yang menghadapi masalah penjagaan.

Dari rumah ke rumah

Pakej perkhidmatan yang diperkenalkan oleh Zuzana Postnatal & Beauty House ini berperanan membantu ibu-ibu berpantang dan pakej yang disediakan adalah melalui khidmat dari rumah ke rumah.

Sudah tentu berfungsi memudahkan pelanggan, pemiliknya, Zuzana Zulkifle, 38, ibu kepada tiga orang anak ini telah memulakan perkhidmatan ini sejak lima tahun lalu. Wanita ini juga berkebolehan dalam bidang rawatan kecantikan dan spa.

Dia yang mempunyai kelulusan dalam bidang kesetiausahaan dan pernah bekerja di sebuah syarikat lebuh raya di ibu kota, berkata, kerjayanya bermula setelah menceburkan diri dengan pengalaman mempelajari teknik mengurut, petua-petua Melayu dan menjaga ibu di dalam pantang ketika mengikuti neneknya, seorang bidan kampung.

Dalam usaha menambah pengetahuan dalam bidang ini dia turut mengikuti kursus-kursus di akademi-akademi kecantikan di seluruh negara.

''Memang banyak masalah yang dihadapi hanya ibu-ibu yang melalui proses berpantang sahaja yang mengetahuinya.

''Saya yakin penjagaan diri selepas kelahiran adalah penting kerana di situlah bermulanya detik hidup seorang wanita ke arah keharmonian rumah tangga yang dibina sehinggalah ke usia emas,'' tambah wanita kelahiran Ipoh, Perak itu.

Tambahnya, selain kecantikan luaran, konsep yang diketengahkan ialah membantu kaum wanita membaik pulih tubuh luaran dan dalaman termasuk memberi khidmat kaunseling bagi mereka yang memerlukan secara percuma.

Zuzana menambah, pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatannya perlu menempah dua bulan lebih awal.

Membelah mulut

''Sehari sebelum bersalin, ubat-ubatan akan diletakkan di rumah pelanggan," katanya.

Kata Zuzana, dia juga akan ke hospital bagi perkhidmatan adat 'membelah mulut' bayi menggunakan air zam-zam, kurma dan kismis.

''Saya juga boleh menyunatkan anak-anak perempuan dan menanam uri,'' ujarnya.

Di rumah pelanggan, Zuzana akan datang seawal pagi untuk memandikan bayi, merebus air mandian untuk ibu, berurut, bertangas, bertungku dan

Set ubat-ubatan bersalin dan bengkung akan diberikan secara percuma, begitu juga pilis dan param serta senaman kemutan otot.

Perkhidmatan Zuzana tidak terhad setakat itu kerana dia juga boleh mengatur majlis cukur jambul, marhaban mahu pun urusan pembantu rumah sekiranya ibu-ibu memerlukan.

Selepas berpantang pula, Zuzana yang dibantu oleh rakannya, Enni Faridah Syed Abdullah, 45, menyediakan perkhidmatan pakej spa secara percuma.

''Semua pakej tertakluk kepada permintaan yang dikehendaki pelanggan dengan harga minimum yang ditawarkan ialah RM1,200 bagi seminggu.

Sementara itu, Siti Salwa Salleh, 32, yang berasal dari Kedah berpendapat, perkhidmatan seperti ini benar-benar memberi kemudahan kepada dirinya yang masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan cahaya mata ketiganya baru-baru ini.

''Keluarga saya jauh dan tiada siapa menjaga saya ketika berpantang. Menerusi perkhidmatan seperti ini saya rasa benar-benar terjaga dan rasa segar semula.

''Ubat-ubatan yang digunakan juga benar-benar memberi kesan dan saya rasa sihat. Berbanding dua kelahiran lalu, kali ini saya rasa lebih sihat.

"Berat badan saya juga sudah turun dari 53 kilogram kepada 43 kilogram,'' ujarnya yang akan kembali bertugas semula selepas habis tempoh berpantang.

Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh hubungi talian 017-238 0009.


Pautan Dari:

utusan malaysia-ARKIB : 08/04/2010
Oleh ROSMAH DAIN
Gambar IDZHAM JAAFAR

1 ulasan:

  1. Salam,..isteri sy mencari org yg leh jaga dia berpantang dari pagi sampai petang je, sbb sy keje ofis hour,blah mlm sy ada...selama 2 minggu..kami di bukit mertajam..boleh bantu? email sy ahmad_aswad@usm.my

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...