PRODUK KAMI

Khamis, 6 Mei 2010

IBU HAMIL PERLU JAGA KESIHATAN

SAAT paling indah bagi wanita yang berkahwin ialah apabila diri disahkan mengandung. Bayangan menjadi ibu sering bermain di fikiran dan perasaan tidak sabar-sabar untuk menimang cahaya mata dirasakan setiap detik.

Sering juga bakal ibu membayangkan bagaimana rupa anak dalam kandungan dan kerenahnya sepanjang tumbesaran.

Setiap kehamilan melalui pengalaman berbeza dan istimewa kerana kehadiran si kecil membawa rahmat dan keceriaan dalam rumah tangga.

Apabila berhajat untuk mengandung, bersiap sedia kerana anda mungkin menerima kehadiran orang baru dalam tempoh 40 minggu akan datang.

Pastikan kesihatan yang baik, iaitu menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat. Sebaik disahkan mengandung, jaga kandungan dan diri anda sebaik mungkin serta elakkan aktiviti yang boleh mendatangkan kemudaratan.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Dr Nor Azlin Mohamed Ismail, ketika membentangkan perbincangan bertajuk ‘Perjalanan Selamat dari Hamil hingga Melahirkan’ di Seminar Keibubapaan Positif, baru-baru ini, berkata dalam pada perasaan bakal ibu bercampur baur antara bahagia, seronok dan bimbang, perubahan bentuk tubuh semakin dirasai.

Antara petanda seseorang wanita itu hamil ialah tiba-tiba tidak datang bulan, selain perubahan pada emosi dan bentuk payu dara.

Pada awal kehamilan juga bakal ibu mudah letih dan mengantuk. Perubahan ini sangat ketara kerana setiap kali berbaring, sama ada ketika menonton televisyen atau tidur, terlalu mudah terlena. Ada kalanya, ibu hamil juga mengalami sembelit dan keputihan lebih banyak daripada biasa.

Jangan lupa temujanji dengan doktor untuk memeriksa tekanan darah, denyutan jantung, ujian air kencing, mengambil vitamin tambahan, zat besi dan asid folik.

Amalkan kebersihan seperti membasuh tangan selepas keluar dari tandas, membasuh buah-buahan sebelum dikupas dan memastikan persekitaran rumah bersih.

Ketika mengandung, jauhi rokok, alkohol dan pengambilan ubat tanpa terlebih dulu mendapat nasihat doktor.

Pengambilan alkohol ketika hamil memberi kesan buruk kepada tumbesaran bayi dari segi fizikal dan mental.

Bakal ibu juga dinasihatkan mengurangkan pengambilan kafein dalam kopi, teh, coklat dan minuman berkarbonat.

Kehamilan boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu peringkat pertama dari awal kehamilan hingga 12 minggu, peringkat kedua dari usia kandungan 13 minggu hingga 26 minggu dan peringkat ketiga dari 27 minggu kehamilan hingga 40 minggu.

Ketika empat hingga lima minggu kehamilan, otak, telinga dan ruas tulang akan terbentuk. Jantina lelaki ditentukan oleh sperma lelaki. Kajian menunjukkan sperma lelaki berenang lebih cepat, tetapi tempoh hayatnya singkat.

Oleh itu, anda mungkin dapat meningkatkan peluang untuk mendapat bayi lelaki jika bersetubuh ketika dalam keadaan paling subur, iaitu kira-kira 14 hari sebelum kedatangan haid.

Jika bersetubuh kira-kira tiga hari sebelum anda menjangkakan kesuburan, peluang untuk mendapat bayi perempuan adalah tinggi.

Ketika kandungan berusia 12 minggu, semua organ penting, termasuk organ seks, mula terbentuk. Memasuki peringkat kedua kehamilan, pergerakan bayi mula dirasai ketika kandungan berusia 16 hingga 20 minggu.

Di saat merasai pergerakan pertama bayi, anda mungkin merasakan bagai mimpi dan tidak percaya. Semakin membesar, semakin kuat dirasakan pergerakan janin kerana dia juga mampu bertindak balas terhadap sentuhan dan suara. Ketika ini, organnya juga jelas kelihatan.

Ketika ini, tempat untuk melahirkan bayi, masalah perubatan dan masalah kehamilan terdahulu perlu diberi perhatian.

Pemeriksaan kemungkinan menghadapi jangkitan penyakit perlu dilakukan, di samping ujian mengesan penyakit kencing manis.

Pemeriksaan kandungan dilakukan secara bersiri, termasuk melakukan imbasan bagi mengetahui perkembangan pertumbuhan janin.

Sebagai persediaan menyambut kehadiran cahaya mata, pelbagai perkara perlu dipelajari seperti menghadapi saat kelahiran, penyusuan, penjagaan bayi dan sistem pemakanan yang sesuai. Untuk itu, anda dinasihatkan memasuki kelas antenatal yang memberi penekanan terhadap perkara terbabit.

Peringkat ketiga kehamilan, pertumbuhan bayi dalam kandungan dirasakan semakin cepat dan pada minggu 38 hingga 40, kandungan sedia dilahirkan ke dunia.

Ketika itu, saiz payu dara bertambah besar — persediaan untuk menyusu bayi, perut mengembang dan berat badan meningkat sehingga 10 hingga 12.5 kilogram.

Waktu ini, anda mungkin tidak dapat tidur malam dengan lena kerana perut yang memboyot menyukarkan anda untuk berbaring dengan selesa. Debaran untuk menanti kelahiran juga membuatkan emosi semakin tidak menentu.

Sakit bersalin

Sakit bersalin sukar diterangkan, kecuali mereka mengalaminya sendiri. Setiap wanita melalui pengalaman sakit bersalin yang berbeza, antara sakit sedikit atau terpaksa menanggung sakit sehingga beberapa hari sebelum bayi benar-benar bersedia untuk melihat dunia.

Beberapa petanda sakit bersalin ialah keluar sedikit darah atau air ketuban pecah.

Kontraksi yang dirasakan semakin lama semakin hebat hingga ada kalanya seseorang itu merasakan, itulah sakit yang tiada taranya.

Ada beberapa cara proses melahirkan anak seperti bersalin biasa, bersalin secara cetusan kelahiran (induce) atau episiotomi iaitu pembedahan untuk meluaskan pembukaan faraj bagi memudahkan kelahiran bayi, kaedah penyedutan (vacum) atau forcep dan pembedahan.

Hati terasa puas bila dapat melihat anak yang dilahirkan buat kali pertama. Selepas kelahiran bayi, anda perlu merancang kelahiran seterusnya. Masa beberapa tahun diperlukan untuk memulihkan kesihatan sebelum mengambil keputusan untuk hamil semula.

Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...